01 September 2008

Crest Builder kian selesa hadapi cabaran ekonomi.

Woke up this morning and checked my phone - Bingley sent me an sms telling me to check out Berita Harian. Hence I did. There was an interesting 'Stock Watch' full page cover feature on Crest Builder.

Anyways, in case you missed the papers, here's the archive from Bharian.com.my.

Projek utama diperoleh tahun ini dijangka perkukuh kewangan

DENGAN kontrak semasa bernilai sekitar RM904 juta yang cukup untuk menampung kerja bagi tempoh 23 tahun akan datang, termasuk kontrak terbaru pembinaan suite kediaman mewah di Bukit Damansara bernilai RM166 juta, Crest Builder Holdings Bhd berada pada kedudukan selesa untuk menghadapi cabaran kelembapan ekonomi yang turut memberi kesan ke atas sektor pembinaan dan hartanah tempatan.

Sungguhpun pendapatan segmen hartanahnya dijangka menyusut tahun ini selepas prestasi memberangsangkan daripada projek Two Square, segmen itu dijangka kekal menjadi penyumbang penting kepada pendapatan Crest Builder susulan pelancaran pembangunan hartanah baru termasuk Batu 3 Shah Alam, Kelana Jaya dan pembangunan kediaman di Mont Kiara.

Crest Builders juga terus aktif membida pelbagai projek dan dilihat berpotensi cerah meraih beberapa projek baru.

Projek kondominium mewah di Mont Kiara belum lagi dilancarkan dan pihak pengurusan menyatakan projek berkenaan hanya akan dimulakan pada separuh kedua 2009.

Faktor berkenaan sudah memberikan kesan kepada prestasi kumpulan. Ia dapat dilihat daripada keputusan kewangan Crest Builder pada separuh pertama tahun ini yang di bawah jangkaan kebanyakan penganalisis.

Pendapatan kumpulan susut kepada RM66.17 juta pada suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2008 berbanding RM90.24 juta suku sama tahun sebelumnya.

Keuntungan bersihnya yang berjumlah RM3.43 juta lebih rendah berbanding RM8.06 juta suku sama 2007.

Bagi tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2008, Crest Builders mencatat keuntungan bersih terkumpul lebih rendah berjumlah RM7.52 juta berbanding RM15.79 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatannya pada separuh pertama tahun ini menyusut 21 peratus kepada RM135.325 juta daripada RM171.285 juta.

Prestasi agak lemah itu disebabkan terutama oleh kelewatan kerja pembinaan dan projek pembangunan hartanah sedia ada.

Penganalisis di OSK Research menjangkakan kos bahan mentah yang meningkat akan menghakis margin keuntungan dan merendahkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan semasa yang akan berakhir 31 Disember 2009.

Margin keuntungan pada tahun kewangan 2008 dan 2009 masing-masing dijangka sekitar lima peratus dan enam peratus berikutan ketiadaan penyelarasan harga bahan mentah yang ketara dijangkakan pada masa depan.

Sementara itu, Standard & Poor's menurunkan unjuran keuntungan bersih kumpulan itu bagi 2008 dan 2009, masing-masing kepada 21 peratus dan 17 peratus kepada RM19.1 juta dan RM21.3 juta.

Namun, firma penyelidikan itu tetap yakin Crest Builder mampu mencatat keputusan kewangan lebih kukuh pada separuh kedua 2008 berdasarkan projek utama yang diperoleh tahun ini. Ia termasuk pembangunan kampus di Sepang bernilai RM93.21 juta dan pangsapuri servis di Bukit Damansara yang dijangka meraih momentum, selain kelegaan daripada tekanan margin susulan pembetulan harga minyak baru-baru ini.

Selain itu, Crest Builder masih boleh mengharapkan pendapatan sewa sekitar RM5.5 juta daripada penyewaan ruang pejabat di tiga menara Two Square di Petaling Jaya.

Fasa satu dan dua pangsapuri kos sederhana Batu Tiga membabitkan 1,081 unit kediaman pula, habis dijual kepada Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) pada pertimbangan tunai RM147 juta.

Crest Builder Group of Companies diasaskan pada 1983 oleh Yong Soon Chow, bekas jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dipacu oleh wawasan untuk mewujudkan nilai pemegang saham menerusi dasar perniagaan berhemah, sementara menekankan aspek kualiti, syarikat dengan kepakaran pengurusannya, sudah melonjakkan nama syarikat dalam industri pembinaan.

Pada 2003, kumpulan itu di bawah syarikat induk Crest Builder Holdings Bhd, disenaraikan di Papan Utama, Bursa Malaysia.

Anak syarikatnya, Crest Builder Sdn Bhd didaftarkan sebagai Kontraktor Kelas A dengan Kementerian Pembangunan Usahawan, selain dimasukkan dalam kategori G7 dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Crest Builder juga menerima anugerah prestij Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2000 oleh UKAS dan Sirim Qas pada 2002.

Hari ini, aktiviti Crest Builder dipelbagaikan daripada perniagaan teras iaitu pembinaan kepada antaranya, perkhidmatan mekanikal dan elektrik dan pembangunan hartanah
.

0 comments:

Post a Comment