12 June 2019

Crest Builder sasar bida projek berkaitan ECRL.


KUALA LUMPUR: Crest Builder Holdings Bhd menyasarkan untuk membida projek-projek bukan infrastruktur bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) seperti stesen depot di Negeri Sembilan dan Pahang Barat. Syarikat itu menyertai proses kelayakan awal pada Mei, dan keputusan akan diumumkan menjelang akhir tahun, kata Pengarah Urusannya, Eric Yong Shang Ming.
“Pembinaan adalah kekuatan kami. Kini kami memberi tumpuan kepada kekuatan kami iaitu pembangunan hartanah dan pembinaan,” katanya pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, hari ini. Sementara itu, Shang Ming berkata syarikat itu positif bahawa pasaran hartanah akan melantun semula pada suku kedua tahun ini.
“Sejak dua tahun lalu, pasaran mengalami aliran menurun, dan pada masa ini kita dapat melihat pasaran kembali meningkat. Beberapa pelancaran projek sasaran kami ditangguhkan atas beberapa sebab termasuk penjajaran dan pengezonan semula," katanya. Tarikh sasaran tiga projek runcit, kediaman dan pejabat - Latitude 8 di Dang Wangi, projek MRB di Jalan Ampang dan kawasan LRT Kelana Jaya di Kelana Jaya, semuanya ditangguhkan selama sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun. Nilai pembangunan kasar (GDV) bagi ketiga-tiga projek itu berjumlah RM3.43 bilion.
Beliau berkata, pada masa ini, syarikat itu memperoleh projek bernilai kira-kira RM100 juta dan menyasarkan untuk memperoleh RM500 juta lagi pada separuh kedua tahun ini. “Pada masa ini, kami mempunyai projek dengan nilai pembangunan RM1.4 bilion. Mengenai prospek pasaran, kami yakin pasaran akan meningkat dengan permintaan yang tinggi terutama dalam sektor pembinaan,” katanya.
Shang Ming berkata, pada masa ini, pembangunan dan pembinaan menyumbang 50 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat, dengan pembinaan dijangka meningkat dan menyumbang 70 peratus kepada jumlah hasil pada suku akan datang.
-BERNAMA

0 comments:

Post a Comment